Saturday, December 5, 2009

Salsabila




Salsabila

Aku rindu Salsabila
pancuran air di taman syurga.

Debaran kecil bergetar di dada,
apakah itu tanda
ketibaan bidadari dengan senyuman   berbunga
membawa hijau sutera
menyelimuti kenangan di mayapada
atau cucuran dingin Salsabila
menyirami rasa, membasahi sukma.

Aku dahaga Salsabila
minuman khamar bercampur halia.


Ediramle Ismail,


Sajak ini menjadi kenangan manis padaku, kerana sajak ini adalah antaranya karyaku yang menang pertandingan menulis Puisi  dan hadiahnya adalah sangat bererti kepadaku.

 ******************************************************

Aman


Bila dendam telah diratakan,
bila marah telah dipadamkan,
bila dengki telah ditimbus
hiduplah kita aman bahagia
di taman indah impian
yang kita bina bersama selamanya.

Ediramle Ismail,
Kok Pasir, Tumpat, Kelantan






 

Hari Persandingan

HARI PERSANDINGAN

 

Setelah sekian tahun bercinta dan berkasih sayang

Tibalah masanya semalam kita dinikahkan

Dengan berwalikan bapamu dan disaksikan keluarga

Di hadapan iman mukim serta sanak saudara

Yang jauh dan dekat

Yang menetap dan yang berpulang.

 

Dengan debar di dada,  kusempurnakan suara cintaku

Ijab Kabul lafaz berbalas lafaz

Dan bermulalah saat ini, kau kekasihku berubah menjadi isteri.

Kau cium tanganku bukan lagi seperti sepasang kekasih lain

Bercumbuan dalam semak samun haram hukum adat

Haram hukum agama dan silap tata budi bahasa bangsa.

.

Hari ini  kutahu keluargamu yang juga kini  keluargaku

Dengan hilai tawa gurau senda

Memeriahkan suasana  upacara, memasak mengulai, menghidang

Menyambut tamu dengan berbunga senyuman.

Tanpa hiraukan penat lelah letih  lenguh badan dan minda..

 

Petang ini ketika aku tiba di perkarangan

seperti seorang raja  diiringi  tingkahan irama gendang

berpayung penuh keriangan, penuh kegembiraan

menuju kepadamu isteriku  yang menunggu di pelamin

dengan senyuman mengharum semerbak mewangi.

 

Renjisan air mawar, diiringi doa

dan  para jemputan menghulur pemberian

hadiah hari persandingan ini

Di pelamin indah ukiran mak andam

Dan kilauan  sinar menerjah  merakam wajah

Sebagai tanda  kita pernah disandingkan  di pelamin sejarah

 

Isteriku,

Biarpun kini kita bergelar suami isteri

Tapi kita teruskan jua nada cinta kita

Dari senja ke senja

Dari dini ke dini sepanjang musim.

 

Hari ini isteriku, kita harus mula berdendang

Lagu-lagu kehidupan sepanjang musim,

Lagu kebahagiaan kita hingga ke akhir zaman.

   Ediramle Ismail,
http://www.pesisir.net
http://www.kokpasir.com
ediramle@kokpasir.com

 

Di Hadapan Pintu

DI HADAPAN PINTU

 

Di hadapan pintu

aku mengetuk

dan berdiri melihat tompok-tompok darah

yang tumpah

 

Izinkan aku

menambat rindu

pada tiang beranda

berhampiran pasu bunga kaktus ini

 

Siapakah yang terbaring di usungan itu

dan diarak masuk ke kamar terakhir

dengan keinsafan menghimpit

 

apakah ia seorang mangsa kehidupan

kesan-kesan calar di dadanya

seakan sekian lama diheret tanggung jawab

menali.

 

Ediramle Ismail

.................................

MENDENGAR SUARA MU

 

kudengar suara mu

ku dengar suaraku

bertemu dalam ruang

rupanya

antara kita tidak banyak berbeza

Tersenyum batinku

Ediramle Ismail

 


Mimpi Apakah Burung

MIMPI APAKAH KAU BURUNG

 

Mimpi apakah kau burung

Tiba-tiba menjunam dari dahan

Pada sangkar malam

Jatuh ke pucuk-pucuk semak

Dan mencelah ke tanah

.

Barangkali hayatmu belum berakhir

Dan kau masih sempat merasai kesakitan

Merayap pada kaki dan tulang sayap.

 

Dari celah rimbunan daun dan gelap malam

Sungguh pekat

Nampakkan kau  dahan tempat sahabat menenggek

Menunggu siang

 

Awan tebal berarak

Mungkin hujan akan turun

Dan kau perlu lekas berjalan

Mencari tempat berteduh

Sakit pada tulang sayap

Mungkin bakal sembuh

Dalam waktu yang dekat.

 

Ediramle ismail

Antologi mimpi burung DBP 1999

    


Ketika Hari Berangkat

KETIKA HARI BERANGKAT

 

Ketika hari berangkat aku belum tidur

Dari arah halaman sisi

 Seekor burung tukang mematuk sepi

Sebentar lagi malam akan turun

Mungkin diikuti titisan embun.

 

Asap kesan pembakaran rumput kering

Masih merayau di sekitar

Cahaya bulan membalam

Dalam jerebu nipis

Kuintai melalui jendela terbuka

Rindu pun menujah

Menikam jantung kalbu

 

Inginku melangkah ke pintu

Memutarkan waktu

Dan seketika duduk di anak tangga

Membetulkan cinta

 

Kembali ke ruang renungan

Kudengar ombak kehidupan

Berdebur di kerongkong ayah

Dan kulihat seekor nyamuk kampung

Mencelah menguji tidur ibu

 

 Hampir aku terlupa

Di seberang sana

Hari tengah siang

Dan bumi sentiasa berputar pada paksi

Tanpa henti.

 

Ediramle ismail

Antologi mimpi burung  DBP 1999

Nakalku Sering Tumpah

NAKALKU SERING TUMPAH

 

Nakalku sering tumpah

Dan marah nenek

Bersembur keluar bersama air sirih

 

Pulang dari bersekolah

Melontar masa depan ke sudut dinding

Dan aku turun bermain

Berguling di pasir berdebu

 Menganggap sahabat karib sebagai musuh

Bertarung menonjolkan kehebatan diri

Kemudian pulang

Menyembunyikan sakit di dalam saku.

 

Lewat petang

Aku berdiri dan merenung

Air bertakung dan berkurung

Di dalam perigi lama

Menunggu senja

Perlahan tenggelam dari ufuk kampung kelahiran

 

Nasihat datuk berulang

Seperti hujan menimpa batu

Namun degilku melekat erat

Seperti daki tertampal di kaki

 

Berkuntum kudis dan panau

Padaa kulit tangan dan kaki

Setiap malam selepas pulang mengaji quran

Sakit menyerang seluruh badan

Nenek merawat mengasah ubat

Datuk bersila melepaskan batuk.

 


Ediramle Ismail,
Kok Pasir, Tumpat, Kelantan

    


  Ediramle Ismail,
http://www.pesisir.net
http://www.kokpasir.com
ediramle@kokpasir.com

Andromeda

Andromeda

 

Sampai sekarang dongengan itu

Tertampal di langit malam

Dan pada mulanya tiada yang menyangka

Di belakang puteri ayu ini

Berputar seguah galaksi berpilin

Jasadnya berganda Bima Sakti.

 

Lahir di Ethiopia

Dibesarkan di sisi inang dan dayang

Belajar mengenal erti kasih saying

Sering bermain dengan kesenangan

Memintas pengalaman dan menangkap makna pengorbanan

Di halaman istana Raja Cepheus

Paduka adil lagi bijaksana.

 

Andromeda memang cantik

Pemilik wajah jelita berkulit hitam manis

Tapi akibat celupar bonda Ratu Cassiopeia

Memperlekehkan ayu segala bidadari laut

Kemarahan mengelegak di dada penguasa segara

Lalu sebagai penebus malu , dikirimkan segulung ancaman

Seluruh Ethiopia purba ditimpa bencana

Banjir besar melanda menenggelamkan keamanan warga

Diutus Cetus Raksasa menghulur kata dua

Seluruh rakyat jelata

Atau

Andromeda , puteri kesayangan seisi istana jadi taruhan.

 

Andromeda mengerti sungguh makna ugutan

Lalu mengertikan makna pengorbanan

Bersedia menyerahkan nyawa,

Merelakan jasadnya lumat

Berkubur di usus raksasa.

Andromeda akur pada syarat

Lantas tanpa helah menghulurkan tangan

Untuk dirantai padaa batu-batu di pinggir pantai

Mennggu tanpa keluh ketibaan maut di rahang

Cetus raksasa.

 

Takdir suratan tiada siapa dapat menafikannya

Perseus pahlawan perkasa

Lalu melangkah  gagah batu-batu pejal di tepi pantai

Menggalas bungkusan kain kuning diresapi merah darah

Yang tersisa dari leher Sang Gelembai Medusa

Bermata sakti berambutkan ular.

 

Janji warga segara pasti tak mungkir

Tidak hilat barang sedetik,

Tidak mendahului walau seminit

Tepat pada ketika nya laut bergelora busa berpusar

Satu deburan hebat teriring

Bagai sekuntum guruh mengembang di atmosfera senja

Muncul Cetus mempamerkan wajah amat garang lagi menakutkan

Andromeda menutup kedua belah matanya rapat-rapat

Dan mengucapkan selamat tinggal kegirangan hidup di bumi dunia

 

Tapi  usia tak patah kalau ajal tak terjah

Perseus tak mudah hilang punca

Dibukanya  kain pembalut mata Madusa

Mata yang terbelalak kerana kempunan

Dihalakan mata Madusa ke arah Cetus Raksasa

Serta merta Cetus bertukar menjadi batu

Berpulau di laut pinggir

 

Andromeda terselamat daripada maut

Tunduk kepada budi tak terbalas

Membayar hutang nyawa dengan jiwa dan raga

Akhirnya hidup aman sebagai permaisuri

Memburuj di antara pulau-pulau sarwajagat

Yang anggun mempesona

 

Jarak dua juta tiga ratus ribu tahun cahaya

Melintasi vakum yang maha luas

Mencelah ratusan juta meteoraid, asteroid, komet,

Setelit, planet, meteor, nabula, pulsar dan lohong hitam

Adalah jarak yang tak mungkin diterokai

Sebarang kapal angkasa, proba, atau koloni peneroka,

Tapi Andromeda masih kerabat Bima sakti

Khabar hamil tiga ratus billion bintang

Dan tak terbilang jasad-jasad yang tersebar

Di merata ruang Galaksi Andromeda.

 

 

Ediramle Ismail

Tumpat, Kelantan, Malaysia



Ediramle Ismail,
Kok Pasir, Tumpat, Kelantan

    

Penting

PENTING

 

Mereka yang datang ke sini semuanya penting

Yang duduk di astaka dengan berpakaian rasmi,

Penting

Yang berdiri di belakang astaka

Penting,

Perahu panjang yang tersusun  di garis permulaan

Juga penting

 

Semuanya adalah penting

Hari ini ruang pada tebing

Dipagari aneka rasa

Dan bau-bau di tubuh merayau ke lorong hidung

Barangkali mereka

Adalah sebahagian kecil penembak ozon yang nakal

Kita perlu mencari tempat berlindung

Daripada di terjahan ultraungu

Akibatnya kita pun merasa sangat kecewa.

 

Tak mengapa

Lupakan seketika soal duka

Inilah saat-saat yang dinanti

Cecahan pertama haluan perahu

Pada garis akhir perlumbaan

Dan merekapun mengangkat dayung

Serentak itu kita pun belajar menerima kenyataan

Ini juga penting.

 

1992

 

Ediramle Ismail

Gelombang 5 Pesisir

Kereta Api Malam

Kereta api malam mengheret rindu 

1

kereta api merangkak di antara bukit-bukit hitam

dan rimba kelam

angin dingin menujah melewati jendela

malam ini.

 

2

harapan di kota tertayang ke perasaan

dalam lena tak tidur

aku berbicara semahu-mahunya

dalam diam

sebelum keretapi berlabuh di pelabuhan subuh.

 

3

Bungkusan rindu terlerai

Luka lama terburai

Di gerabak yang berlari

Mengheret rindu.

 

4.

sebelum tiba di stesen dituju

keretapi berkali-kali meneriakkan siren

terkumpul pilu, terhimpun sayu di keliling hatiku

meninggalkan kampung laman

bersenda gurau bersama teman.

 

Ediramle Ismail

Dalam perjalanan keretapi Pasir Mas – Kuala Lipis

(Ketika ini saya masih dalam ATM 12RAMD Kem Daralookwood, Kuantan)

 

 ******************************************************

Empat siang empat malam

perjalanan ke selatan

tak mungkin aku sempat  menjohorkan pengalaman



Ediramle Ismail,
Kok Pasir, Tumpat, Kelantan

    


Dari Sebuah Kamar

Puisi dari sebuah kamar

Berada di kamar ini

Kutanggalkan

Segala ingatan lain

Ketukan di pintu berulang

Sedangkan

Kunci terselit di dalam

Akan kubiarkah

Ketukan itu terhenti

Dan berlalu melewati

Jendela anggapan

Meninggalkan bau-bauan wangi

Melekat di tombol

Hedaknya dengan pilihan ini

Tidak ada sia-sia terhimpun.

Ediramle Ismail

 

 ******************************************************

Di seberang titian

Di seberang titian

Ada kenangan terpancang

Di antara dua rindu

Pada luasnya rasa

Di dada dua remaja

 

Pohon-pohon kelapa yang kian tua

Dan angin senja yang sering menerpa

Setiaku masih terpaku

Menanti dan menunggu

Kau turun dari dendam kesumat

Yang menyumbat setiamu

Pada yakin dan percaya

Akan sebenarnya fitnah

Yang didirikan oleh Minah

 

Lalu kau kini khabarnya

Masuk semula ke dalam cinta

Diheret oleh mamat

Anak seorang yang berhormat

 

Di seberang titian

Harapanku tertanggal

Di mata seorang Siti salamah.

 

 

Ediramle -  puisi –puisi awal.



Ediramle Ismail,
Kok Pasir, Tumpat, Kelantan

    


Mencari Wangi Bunga

Puisi untuk hati


 

Terima sajalah kenyataan itu

kerana harapan kita

tersekat pada taraf

mengharap pun

tambah lama

kian menyakitkan

 

seharusnya terlebih dahulu

telah sedar

yang kita sememangnya

diremajakan bersama lipas dan

lipan

di dalam gumpalan-gumpalan

kain buruk di rumah nenek

sedang dia dibesarkan

oleh kilauan-kilauan hiasan

dan anika mainan

di halaman rumah batu

 

terima sajalah kenyataan itu

biarpun dengan terisak-isak

dan rasa penuh sebak.

 

1985

 

Ediramle Ismail

 

 ******************************************************

MENCARI WANGI DI DALAM BUNGA

 

Mengintai dari celah

kehairanan

siapakah kau terhendap-hendap

mencari wangi di dalam bunga

 

kaukah yang sering bertanya

dari mana datangnya bau

wangi

setelah terbuka kelopak

dan ke manakah hilangnya

warna

setelah bunga mula layu

 

Seharunnya terlebih dahulu

melintasi seribu pintu

sebelum masuk

ke ruang taman

rahsia kehidupan

mencari wangi di dalam bunga.

 

ediramle ismail  86 -87


Kok Pasir, Tumpat, Kelantan

Perpisahan

Puisi Pemburu


 

Di seberang bukit

terdengar senjata diasah

berdentam-dentam

bertubi-tubi mengasak bukit

bertalu-talu mengasak target.

 

Kijang dan rusa

tiada yang tersesat

sebelum mengintai

dari jarak lebih dekat

terlebih baik

mengecam betul-betul

bunyi di seberang bukit

mana tahu pengelihatan

dan salah sangka

memburaikan hidup

di pemburuan

 

Di seberang bukit

di sebuah lapang sasar

para pejuang

berbaris bergilir-gilir

mempertajamkan

kemahiran menggunakan

senjata

mempersiapkan diri

untuk meneruskan perjuangan.

 

1986

Ediramle Ismail

 

 ******************************************************

Perpisahan

amat payah untuk menyatakan

betapa indahnya

jalur-jalur perasaan

tambah lagi

setelah kapal mula berangkat

ke laut malam

 

barangkali takdir telah menitiskan

keinginan di sudut kalbu

lalu kutinggalkan pelabuhan

dengan kucah-kucah ombak

yang tak henti-henti memukul perasaan

 

kalian yang sekian waktu

aku bersamamu

belayar di laut waktu

sungguh biarpun jauh

suara kalian masih kudengar

sayup-sayup di antara

bunyi pecahan ombak rasa

di pinggir kenangan

 

masih seperti dulukah

seharian kau berlari ke sana ke mari

di bibir pantai itu

memunggut kulit siput?

Ediramle Ismail 

kok pasir 1985


Kok Pasir, Tumpat, Kelantan

    

Perempuan Yang Tidur

Pelawaan


 

 mengapa terhendap-hendap

di luar

masuklah ke dalam minat

di sana terbuka luas pintu

peluang

 

masuklah ke kamar minat

bukan hanya sekadar melihat

tapi bermainlah dengan sajak

atau dengan apa saja

sukan atau seni

lakon atau tari.

 

Di situ kau akan temui

nyaman kehidupan

bertiup membelai rasa

atau sejambak makna

dari kurniaan yang Maha

Berkuasa.

 


Ediramle Ismail,

 

 ******************************************************

Perempuan tidur di kaki lima

Dia membaringkan

kekecewaannya

di kaki lima

ketika mentari miring ke timur

 

Dari bibirnya yang rekah

ada duka bercambah

dari kakinya yang sekah

ada derita bernanah

di tangannya yang lemah

ada calar-calar sengsara

dicakar kemiskinan yang ganas.

 

Hatinya benar-benar luka

ditindih timbunan rasa.

 

jangan disebut di hadapannya

tentang panjangnya 

jambatan pulau pinang

Tingginya KLCC,

Indahnya puterajaya

lebarnya lebuh raya Timur Barat

luasnya padang golf

indahnya pusat pelancungan

dan pelbagai bintang hotel

kerana itu

tambah menyakitkan hatinya

yang sedia luka ternganga.


Ediramle Ismail,
Kok Pasir, Tumpat, Kelantan